Leonardo DiCaprio

WASHINGTON – Pelakon terkenal Hollywood, Leonardo DiCaprio hari ini mendedahkan di mahkamah bahawa ahli perniagaan dalam buruan,  Jho Low pernah mendakwa mahu menderma sehingga AS$30 juta untuk membantu kempen pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada 2012.

Menurut DiCaprio, beliau agak terkejut dengan jumlah yang begitu banyak ditawarkan oleh Jho Low ketika itu kepada parti Demokrat itu.

“Ini adalah perbualan santai antara saya dan Jho Low mengenai parti mana disokongnya. Saya hanya cakap, ‘Wow, itu jumlah yang banyak’,” kata DiCaprio katanya di hadapan juri. 

Agensi melaporkan ketika ini DiCaprio yang juga pernah menempa nama melalui filem blockbuster Titanic  menjadi saksi dalam perbicaraan Prakazrel “Pras” Michel dari kumpulan hip-hop Fugees yang menghadapi tuduhan jenayah atas dakwaan peranannya dalam kempen pengaruh asing yang ditujukan kepada pentadbiran Obama dan bekas Presiden AS, Donald Trump.

Untuk makluman, DiCaprio adalah salah seorang daripada beberapa nama besar yang terkenal dikaitkan dengan Jho Low yang juga sedang berdepan dengan pertuduhan jenayah persekutuan berasingan kerana didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada 1Malaysia Developement Berhad (1MDB). -MalaysiaGazette