Nur Sarah Natasha dikesan mengidap penyakit hydrocephalus sejak dalam kandungan.

BAYAN LEPAS – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitu gambaran kehidupan pasangan suami isteri lantaran menjaga anak istimewa mereka yang mengidap penyakit hydrocephalus.

Kanak-kanak malang itu, Nur Sarah Natasya Hamad yang berusia dua tahun, dikesan mengidap penyakit berkenaan sejak dalam kandungan.

Ibunya, Nor Sarlina Mohammad Ali, 33, berkata, penyakit hydrocephalus dialami menyebabkan pengumpulan cecair berada di bahagian otak yang menjadi punca pembesaran berkenaan.

Walaupun keadaan anaknya begitu, dia bersyukur Nur Sarah Natasya tidak menunjukkan gejala lain seperti sawan atau sukar menelan makanan seperti yang berlaku kepada kebanyakan pesakit berkenaan.

Nor Sarlina.

“Difahamkan air di kepalanya tidak boleh disedut keluar kerana tulang di bahagian atas tidak bersambung.

“Setakat ini, kami tidak pernah terlepas temujanji bersama doktor di Hospital Pulau Pinang (HPP) demi memastikan Nur Sarah Natasya berada dalam keadaan baik.

“Pada masa ini dia masih mampu makan dengan sendiri tanpa menggunakan tiub atau bergantung kepada susu khas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Pasangan suami isteri jual air kelapa bagi menampung pendapatan keluarga.

Mengulas lanjut Nur Sarlina berkata, berikutan kepala anaknya yang membesar, dia sukar bergerak dan hanya diletak di dalam kereta sorong.

Katanya, dia dan suami, Hamad Subri, 35, terpaksa membawa Nur Sarah Natasya bersama setiap hari ketika berniaga air kelapa kerana tiada sesiapa yang menjaganya.

“Pernah berlaku di mana kepala Nur Sarah Natasya mengeluarkan darah selepas lama berada dalam kereta sorong dan kini kereta sorong itu sudah tidak muat susulan kepalanya yang semakin besar.

“Ibu sudah tua dan tidak mampu mengangkatnya, jadi saya dan suami terpaksa bawa Nur Sarah Natasya bersama biarpun cuaca berpanas atau hujan.

“Saya tinggal bersama empat lagi anak berusia lima hingga lapan tahun serta ibu dan kakak berstatus kurang upaya (OKU) di rumah ini,”katanya.

Menurut Nur Sarlina, sebelum ini, dia tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana institusi dan hanya bergantung kepada pendapatan mereka sebanyak RM1,500 bagi membeli keperluan.

“Wang hasil jimat cermat itu kami gunakan bagi membeli lampin pakai buang dan susu yang keseluruhannya mencecah RM300 sebulan.

“Saya bukan maksud meminta-minta, tetapi  amat memerlukan kerusi roda khas bagi kegunaan Nur Sarah Natasya terutama yang boleh mengampu pada bahagian kepalanya,” katanya.

Orang ramai yang ingin sumbangkan bantuan boleh salurkan menerusi akaun bank Nor Sarlina Mohammad Ali 6920043603 (Public Bank).

Sebelum ini, keluarga terbabit menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz bersama Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown Mohd Asri Mohd Rasid serta wakil Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Difahamkan dalam pertemuan itu, Azrul Mahathir memaklumkan agensi terlibat akan melihat semula bantuan yang sesuai kepada waris dan Nur Sarah Natasha selain mempertimbangkan kerusi roda khas kepada kanak-kanak itu. – MalaysiaGazette