KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dalam peringkat membuat penilaian semula Kertas Putih Pertahanan Negara supaya ia sesuai dengan keadaan semasa, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, kertas putih pertahanan sebelum ini dibentangkan di Parlimen lebih empat tahun dahulu dan dianggap sudah tidak sesuai digunapakai dalam era teknologi yang semakin canggih hari ini.
“Kita sedia maklum, berperang sekarang tidak lagi menggunakan strategi tradisi, sebaliknya menggunakan senjata canggih seperti dron peluru berpandu dan senjata berkuasa tinggi.
“Perubahan strategi perang ini yang kami sedang nilai dan kaji agar kita juga turut mempunyai cara berperang secara moden, bukan dulu lagi, banyaknya bertempuran di daratan.
“Falsafah pertahanan negara kita pula tidak boleh dipertahankan di darat sahaja, kita mesti mempertahankan negara kita antara 300 kilometer hingga 500 kilometer di luar pesisiran pantai,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Senator Datuk Paul Igai di Dewan Negara hari ini.
Paul menanyakan, adakah Kementerian Pertahanan bercadang menambah aset ketenteraan seperti dron peluru berpandu sebagaimana yang diimport oleh Rusia dari Iran.
Menurut Mohamad, setakat ini belum ada cadangan membeli dron yang dimaksudkan itu kerana kerajaan masih lagi menilai konflik perang Rusia-Ukraine yang secara tidak langsung memberikan pengajaran yang banyak di atas peralihan falsafah peperangan itu.
Oleh itu, katanya, kerajaan mesti mempunyai keupayaan meninjau, melihat dan apa sahaja pergerakan yang bakal berlaku di sekitar perairan negara seperti di kawasan Laut China Selatan.
Kata beliau, kepentingan negara di Laut China Selatan melebihi 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana di situ mempunyai telaga minyak dan gas negara yang perlu dilindungi.
“Atas asas ini, banyak pertimbangan yang sedang diteliti dan kita akan menghasilkan kertas putih kaji yang baharu berasaskan perubahan teknologi, khususnya cara-cara mempertahankan kedaulatan serta juga benteng pertahanan kita.
“Walaupun kertas putih pertahanan negara ini dibentangkan empat tahun lalu, tetapi ia dibuat lima enam tahun sebelum itu. Maka, falsafah pertahanan negara akan berubah. Cara perang dan teknologi pula banyak berubah,” katanya. – MalaysiaGazette