PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjangkakan lebih ramai atlet yang pernah menjadi mangsa ganggu seksual tampil ke hadapan membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ia susulan kesedaran mengenai Kod Sukan Selamat semakin meningkat dengan bantuan banyak pihak khususnya persatuan-persatuan sukan di negara ini.

“Bila ada kesedaran, bermaksud kemungkinan ada penambahan aduan kerana aduan ini akan keluar.

“Sekarang ini mereka rasa dengan adanya kod sukan selamat, mereka yakin untuk bercakap.

“Sebelum ini ada tindakan daripada KBS, kalau saya bangkitkan, saya juga akan dapat perlindungan.

“Saya menjangkakan akan ada banyak lagi kes seperti ini akan tampil ke hadapan,” katanya pada sidang media di Menara KBS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang atlet wanita berbasikal negara mengalami gangguan seksual semasa sesi latihan bersama pasukannya untuk persiapan ke temasya Sukan Sea Kemboja.

Lebih mengejutkan apabila jurulatih skuad berbasikal negara itu sendiri yang melakukan gangguan seksual terhadap pelumba wanita berusia 20-an yang pernah memenangi pingat di temasya Sukan Sea Vietnam tahun lalu.

Dalam pada itu, tidak menolak kemungkinan pelaku yang melakukan gangguan seksual secara dalam talian juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kod Sukan Selamat adalah untuk mewujudkan persekitaran selamat dan gangguan seksual itu kemungkinan besar akan merangkumi gangguan dalam talian.

“Untuk melakukan apa-apa terhadap atlet kita, jurulatih kita, pastikan anda tahu undang-undang.

“Kita akan menggunakan undang-undang sedia ada Akta Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak terkejut jika ada aduan yang bakal diterima pihaknya merupakan kes lama.

“Ini tak semestinya buruk kerana kita ada peningkatan kesedaran sekarang

“Kita perlukan satu masa untuk kita stabilkan tengok kes-kes yang berlaku ini, kes baharu atau pun kes lama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette