Ruslin Jusoh.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan bahawa laman web rasminya diserang pada jam 2 pagi ini oleh penyerang dikenali ‘CaptainSmok3r’.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serangan yang dilakukan itu berbentuk defacement yang mengakibatkan muka hadapan laman web jabatan itu ditukar kepada paparan imej yang lain.

“Bagaimanapun, capaian-capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan insiden ini.

“JIM telah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web dari akses orang ramai dan melakukan kerja-kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Bahagian Teknologi Maklumat Jabatan Imigresen telah mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan NACSA dan CyberSecurity bagi membantu mengukuhkan laman webnya.

“Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat petang ini.

“Jabatan ini menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya.-MalaysiaGazette