KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi, Kemboja dan China baru-baru ini memperkukuhkan lagi kedudukan negara di peringkat antarabangsa dari segi hubungan ekonomi dan diplomatik.
Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong berkata, lawatan tersebut membantu kerajaan mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama perdagangan dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
“Semasa lawatan, pemimpin kedua-dua negara dapat bertukar pandangan mengenai hala tuju hubungan dua hala selain membincangkan peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Sebagai contoh, hasil lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke China telah berjaya menarik masuk pelaburan ke Malaysia sebanyak RM170 bilion,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut menyifatkan penyertaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China sebagai sangat penting untuk negara.
Choo Seong memberitahu, Ka Siong yang hadir sebagai atas kapasiti seorang Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan juga mempunyai pengalaman dan perhubungan yang cukup rapat dengan Beijing.
“Malah, sebelum ketibaan Perdana Menteri di Beijing, Ka Siong telah pun mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perhubungan Antarabangsa China (IDCPC), memandangkan hubungan MCA dan Parti Komunis China (CPC) telah pun terjalin lama sejak 1994 lagi.
“Sepertimana yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, pertemuan dengan pemimpin CPC adalah untuk mempromosikan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China,” jelasnya.
Beliau berharap sesi dialog dan interaksi mengenai pembangunan negara ini akan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang telah terjalin hampir 50 tahun.
Selain itu, katanya, dua institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh MCA iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) juga bekerjasama dengan pelbagai universiti di China untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette
















