Mercun haram bernilai RM1.67 juta yang dirampas polis di Banting, Selangor. Foto: IPD Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki yang disyaki dalang sindiket penyeludupan mercun ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah gudang di Jalan Sungai Lang Baru, Banting, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, bertindak atas maklumat, pasukan serbuan telah mengekori sebuah lori yang membawa muatan mercun itu dari pembekalnya di Klang sehingga ke gudang haram itu.

“Semasa tangkapan dibuat, keempat-empat lelaki tersebut sedang memunggah kotak-kotak mercun dari sebuah lori ke dalam gudang.

“Dalam serbuan tersebut pihak polis telah berjaya merampas sebuah lori beserta 627 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM1,670,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati tempat penyimpanan mercun itu belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Menurut Ahmad Ridhwan, emakan mendapati suspek yang berusia antara 19 hingga 39 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan kes narkotik.

Katanya, suspek direman selama tiga hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Jelasnya, kes disiasat di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM100,00 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Sementara itu, Ahmad Ridhwan mengingatkan masyarakat supaya tidak menawarkan penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada polis.

Katanya, individu yang mempunyai permit menjual mercun perlu mematuhi peraturan yang mana tempoh penjualan hanya dibenarkan selama 30 hari iaitu 25 hari sebelum dan lima hari selepas tempoh musim perayaan untuk mengelakkan daripada diambil tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette