Tan Sri Musa Hassan (tengah) bersama wakil wakil PRISS dan Kespa dalam MoU triparte sektor keselamatan dan majlis berbuka puasa di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Keselamatan Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWISS) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pegawai Keselamatan Agensi Persendirian Malaysia (PRISS) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pengawal Keselamatan Semenanjung Malaysia (Kespa) bagi menyediakan latihan kemahiran dan kerjaya untuk pengawal dan pegawai yang menceburi industri keselamatan

Pengerusi SWISS, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia akan mewujudkan pengawal dan pegawai yang berpengetahuan tinggi dan bertauliah dalam kerjaya mereka.

“Rata-rata majoriti mereka yang menceburi dalam sektor kawalan keselamatan di dalam negara ini sebenarnya kurang berpengetahuan mengenai soal keselamatan, jadi penawaran latihan kerjaya sektor keselamatan ini akan menjadikan mereka pengawal keselamatan yang berkualiti yang memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Selain itu, kita juga mahu memberi fokus kepada aspek kebajikan pengawal keselamatan persendirian di negara ini yang mana kebanyakan mereka tiada perlindungan dari segi kewangan, tiada pampasan jika ditimpa musibah serta ada juga yang diserang semasa bekerja yang perlu diberi perhatian yang serius selepas ini,” katanya selepas majlis pemeteraian MoU itu, di sini, hari ini.

Jelasnya, kini negara mempunyai kira-kira 150,000 pengawal keselamatan dengan masa depan mereka yang tidak terjamin.

Tambah beliau, faktor pembayaran gaji yang rendah merupakan antara isu yang dipertimbangkan dalam MoU tersebut.

Musa berkata, kerjasama strategik ketiga-tiga persatuan pengawal keselamatan swasta itu bertujuan menyediakan platform ke arah penambahbaikan industri keselamatan dengan menyediakan latihan dan pendidikan yang relevan serta berkualiti.

“Latihan kemahiran kerjaya yang ditawarkan adalah Kursus Pegawai Keselamatan Maritime Bertauliah pada 9 Mei 2023, Accredited Security Consultancy menjelang akhir 2023 dan Threat Vulnerability Risk Assessment menjelang akhir tahun 2023.

“Kami juga memberi keutamaan kepada peserta baharu yang sudah berpengalaman dalam sektor keselamatan seperti pesara polis dan tentera yang menagih peluang kerjaya lanjutan pada tahap tinggi menggunakan pengalaman luas mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette