Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan tentang ketidakpuashatian seorang individu terhadap tindakan anggota polis trafik yang didakwa mengambil kad pengenalan milik orang awam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan pemerasan.

“Kertas siasatan apabila dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan, individu tersebut boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau dikenakan sebatan.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat seorang lelaki mengenai insiden itu pada 31 Mac lalu sebelum ia tular di laman media sosial baru-baru ini.

Dalam laporan itu, pengadu mendakwa dia telah ditahan seorang anggota polis trafik semasa sekatan jalan raya di Jalan Lake View, Puchong Prima, di sini.

Anggota polis itu dipercayai meminta pengadu mengeluarkan kad pengenalan dan lesen memandu untuk pemeriksaan.

Anggota itu memaklumkan pengadu akan disaman atas kesalahan pengubahsuaian ekzos serta terdapat waran tangkap di atas namanya dan memberitahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Anggota itu didakwa memegang kad pengenalan pengadu dan meninggalkan nombor telefonnya kerana mahu berjumpa lelaki terbabit di satu lokasi dengan membawa wang RM500 untuk diberi kepadanya.

Pengadu yang terkejut dan tidak berpuas hati selepas menerima mesej daripada nombor telefon anggota polis berkenaan bertindak membuat laporan di balai polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa masih ada pegawai polis ber IQ GORILA macam ini. Memang tak layak dihormati dan tindakan tegas harus diambil..Nyahkan pegawai yg tidak amanah dari pasukan. istiharkan kepada umum tindakan yg telah diambil jgn lindungi lagi manusia seperti itu.

Comments are closed.