menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Kanun Keseksaan adalah bertujuan mencegah kes tersebut daripada berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu juga diharap akan menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.

“Ia boleh menghapuskan stigma terhadap perbuatan bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian bunuh diri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pemansuhan Kesalahan Percubaan Bunuh Diri merangkumi RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.

Azalina memberitahu, RUU tersebut adalah hasil daripada kajian, sesi-sesi libat urus, dan usaha sama berterusan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan yang lain.

Menurut beliau, RUU berkaitan Pemansuhan Kesalahan Percubaan Bunuh Diri melibatkan empat dasar.

Azalina berkata, dasar pertama adalah berkaitan pemansuhan kesalahan percubaan membunuh diri di bawah seksyen 309 Kanun Keseksaan.

“Ini adalah berdasarkan fakta di mana percubaan bunuh diri adalah dalam lingkup tingkah laku bunuh diri dan perbuatan ini merupakan impak daripada ketidakupayaan fikiran atau kecelaruan psikiatri,” jelasnya.

Beliau memberitahu, dasar kedua bertujuan mengekalkan kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah seksyen-seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan dengan memasukkan persubahatan perlakuan percubaan bunuh diri oleh mana-mana orang sebagai suatu kesalahan jenayah dan seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan yang berkaitan.

Kata Azalina, hukuman dicadang untuk diperkasakan dan ditingkatkan bagi kes bunuh diri yang melibatkan golongan kanak-kanak dan golongan kurang kapasiti mental berbanding mangsa yang lain kerana golongan berkenaan adalah terdedah kepada situasi dan keadaan di mana mereka mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh pelaku.

Mengenai dasar ketiga, beliau menambah, ia bertujuan mewujudkan pegawai intervensi krisis dan memberikan kuasa penangkapan kepada pegawai berkenaan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615).

“Hal ini kerana susulan cadangan pemansuhan seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi meniadakan kesalahan percubaan membunuh diri dan tidak lagi sebagai suatu kesalahan jenayah,terdapat keperluan bagi menguruskan kes-kes percubaan membunuh diri oleh pihak penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Azalina berkata, dasar keempat mencadangkan moratorium terhadap pelaksanaan seksyen 309 Kanun Keseksaan sehingga pemansuhan seksyen itu selesai dilaksanakan dan diwartakan dengan sewajarnya berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Pelaksanaan perkara ini akan memudahkan urusan berkaitan penguatkuasaan dan pendakwaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette