KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 berakhir hari ini dan ditangguhkan hingga ke tarikh yang tidak ditetapkan.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, mesyuarat tersebut telah berlangsung selama 31 hari bermula 13 Februari lalu.
“Syukur alhamdullilah persidangan kali ini kita diberi peluang melaksanakan secara penuh istiadat pembukaan penggal Parlimen selepas tiga tahun menagani risiko penularan Covid-19.
“Mesyuarat kali ini menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan usul Menjunjung Kasih Di Atas Titah Diraja, Belanjawan 2023 dan sebanyak 12 Rang Undang-Undang serta empat usul daripada pihak kerajaan,” katanya ketika menamatkan sesi persidangan hari ini.
Mesyuarat kali ini juga telah memperlihatkan beberapa pembaharuan dalam urusan Dewan Rakyat.
Pembaharuan yang dilakukan antaranya ialah waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada hari selasa telah dikhaskan kepada Perdana Menteri untuk menjawab soalah daripada Ahli Parlimen.
Ini disusuli dengan urusan Kamar Khas yang telah memberi peluang kepada 10 Ahli Parlimen kerajaan dan enam Ahli Parlimen pembangkang untuk mempengerusikan mesyuarat secara sementara di bawah Peraturan Mesyuarat 16(5).
“Selain itu usul berkenaan perkara tadbir kerajaan di bawah Perkara Mesyuarat 17 di Kamar Khas boleh diucap lebih daripada dua usul iaitu maksima empat usul daripada dua ahli yang berhormat.
“Dan ini membawa jumlah sebanyak 80 ucapan telah dirunding di Kamar Khas pada kali ini dalam masa 20 hari,” kata beliau.-MalaysiaGazette
















