Muhammad Faisal (kanan) hadir di mahkamah ditemani rakannya.- Gambar ihsan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat yang salah seorangnya anak Datuk Seri Hamzah Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di Negeri Sembilan hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan.

Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah dan Azizul Abdul Halim juga merupakan pengarah sebuah syarikat dikenali sebagai Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan juga pemegang lesen borong barang kawalan berjadual minyak masak.

Mereka mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kesalahan itu dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya telah memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8, Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen / Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5 petang di pejabat KPDN, Seremban 2 pada 12 Ogos 2022.

Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (2) akta sama.

Selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50.00 MT.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria walaupun tidak menawarkan jaminan namun memohon mahkamah menetapkan satu nilai jaminan tinggi dengan mengambilkira jumlah pertuduhan dengan mengambil kepentingan kes itu yang membabitkan barang kawalan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen 7 Jun ini. 

Hamzah sebelum ini merupakan Menteri Dalam Negeri dan kini menjadi Ketua Pembangkang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.