PUTRAJAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan agihan dividen sebanyak 3.05 peratus bagi tahun berakhir 2022 kepada pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Ia akan memberi manfaat kepada 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM266.17 juta.
Pengumuman dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kementeriannya di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.33 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.
“Pemberian dividen 3.05 peratus ini bukan sahaja lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.00 peratus pada tahun 2021.
“Malah, ia merupakan kadar dividen yang kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di sesetengah bank yang menawarkan kadar faedah keuntungan antara hanya 2.05 peratus sehingga 2.75 peratus.
“Sambutan menggalakkan masyarakat ke atas Simpan SSPN bukanlah sesuatu yang mengejutkan…ini kerana, simpanan ini disokong dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat,” katanya.
Menurut Mohamed Khaled lagi, PTPTN sentiasa mencari langkah dan strategi terbaik untuk para pendeposit.
Ujarnya, sebagai hadiah istimewa kepada para pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat penabungan dalam jangka masa panjang, PTPTN akan memberikan insentif khas sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan.
Katanya, ganjaran kesetiaan sebanyak satu peratus akan diteruskan pada tahun ini dan ia akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi bermula 5 April hingga 31 Julai ini.
“Insentif ini layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2019.
“Dengan pemberian 3.05 peratus dividen dan satu peratus ganjaran kesetiaan, saya harap kedua-dua insentif ini akan terus memberi galakan dan meningkatkan keyakinan pendeposit Simpan SSPN,” tambahnya. – MalaysiaGazette