GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa ibu bapa dan guru meluahkan rasa resah berikutan anak dan pelajar mereka bebas membeli produk vape mengandungi nikotin di pasaran.

Pegawai Pendidikan CAP, NV. Subbarow berkata, lebih 10 aduan diterima pihaknya sejak 1 April lalu selepas keputusan kerajaan mengeluarkan nikotin yang digunakan dalam gel dan cecair untuk e-rokok dan vape, daripada senarai bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952.

Kata beliau, tinjauan CAP juga menunjukkan bilangan perokok dan vape di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti adalah membimbangkan.

“Tidak logik mengeluarkan nikotin daripada senarai racun tetapi tiada cukai bagi rokok selama tujuh tahun yang lalu. Kita mungkin mempunyai bilangan perokok baharu dan meningkat disebabkan harganya yang lebih rendah. Ini tidak baik bagi negara yang sihat dan ia adalah kesilapan yang amat serius.

“Selain itu, dengan mengenakan cukai baharu nikotin, kerajaan secara tidak langsung menjadikan industri tembakau lebih untung manakala golongan remaja yang ketagih vape dan e-rokok menjadi golongan yang rugi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Subbarow, sekiranya kerajaan bertegas bahawa nikotin akan dikenakan cukai, maka rokok juga mesti dikenakan cukai.

“Malaysia sudah ada lima juta perokok dan 1.5 juta penghisap vape manakala saringan menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu mendapati seramai 43,000 pelajar sekolah menengah dan 341 murid sekolah rendah terjebak dengan rokok dan itu bukanlah jumlah yang baik.

“Sehubungan itu, CAP meminta kerajaan negeri yang mengisytiharkan vape adalah haram supaya tidak membenarkan kanak-kanak mengguna atau membeli nikotin.

“CAP mengucapkan tahniah kepada keputusan kerajaan negeri Johor kerana tidak mengikut keputusan persekutuan yang membenarkan penjualan rokok elektronik itu,” katanya.

Terdahulu, penjualan vape dihalalkan bertujuan mengutip cukai daripada cecair vape yang berkuat kuasa pada 1 April lalu yang mana duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape. – MalaysiaGazette