KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Mei depan bagi keputusan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kebenaran semakan kehakiman berhubung keputusan pembekuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke atas akaun bank parti.
Penetapan tarikh itu juga untuk semakan terhadap larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid memberikan tarikh berkenaan sejurus selepas mendengar hujahan lisan kedua-dua belah pada prosiding hari ini.
Sebelum ini pada 8 Mac lepas, permohonan semakan itu difailkan Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin bagi pihak parti berkenaan di Mahkamah Tinggi, semalam melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co.
Ia menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah bahagian pencegahan pengubahan wang haram (AML), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, selaku respoden pertama hingga keempat.
Turut dinamakan 16 lain sebagai responden keenam hingga ke-20 dalam permohonan semakan ini.
Untuk makluman, andainya semakan ini dibenarkan mahkamah pada 17 Mei ini bermakna tarikh lain akan diberikan untuk mendengar hujahan berhubung merit semakan kehakiman dikemukakan oleh Bersatu.
Dalam prosiding hari ini juga, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Peguam Negara, Shamsul Bolhassan berhujah, perintah pembekuan akaun yang dikeluarkan oleh SPRM tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Hujahnya, ini kerana perintah pembekuan itu merupakan amalan berkaitan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Jika boleh dihujah menerusi semakan kehakiman, kita khuatir akan membuka ruang pertikaian bagi setiap pelaksanaan siasatan yang akhirnya boleh ganggu gugat ketenteraman awam,” tegasnya.
Manakala, peguam Rosli Dahlan mewakili pemohon-pemohon bertegas perintah pembekuan akaun dan larangan perjalanan itu boleh dicabar dalam semakan kehakiman kerana isu-isu yang dibangkitkan bukan remeh atau menyusahkan malah ianya didakwa dilakukan atas ‘niat jahat’.
Sebelum ini dalam afidavitnya, Bersatu mendakwa tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.
Parti itu juga mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.
Dakwanya lagi, Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan oleh responden keempat untuk mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.
Dalam pada itu, dalam afidavit berasingan berhubung semakan mencabar larangan perjalanan pula, Muhyiddin berhujah bahawa dakwaan palsu telah kepada beliau serta keluarga dan parti untuk memupuk kebencian umum.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan dan di bawah siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. -MalaysiaGazette