Sebahagian warga Bangladesh yang diselamatkan dari sebuah rumah di Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR – Seramai 26 warga Bangladesh diselamatkan dalam oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama Jabatan Tenaga Kerja Selangor dalam satu operasi di sebuah rumah di Pelabuhan Klang.

Kesemua pekerja yang diselamatkan ini telah berada dalam negara selama hampir 2 bulan selepas mereka dibawah masuk pada 15 Februari lalu.

Mereka masuk secara sah namun malangnya, majikan gagal memberikan pekerjaan dan menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan.

JTKSM berkata, operasi menyelamat dilakukan bagi mengelakkan para pekerja ini menjadi mangsa penipuan pekerjaan seterusnya membawa kepada berlakunya buruh paksa.

“Kesemua 26 pekerja terbabit telah dibawa dan ditempatkan di rumah perlindungan yang dirahsiakan lokasinya untuk keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Keadaan tempat tinggal 26 warga Bangladesh yang diselamatkan di Pelabuhan Klang, hari ini.

JTKSM berkata, pihaknya akan membantu dalam urusan mendapatkan gaji para pekerja ini dan jabatan juga akan memastikan mereka diberikan pekerjaan sepertimana yang dijanjikan atau langkah terakhir dihantar pulang ke negara asal.

Jabatan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang membawa kepada elemen buruh paksa yang boleh menjejaskan imej negara.

“Semua majikan tidak kira apa juga sektor diseru agar dapat melaksanakan tanggungjawab sewajarnya selepas membuat permohonan pekerja asing seperti penempatan pekerjaan yang dijanjikan dan juga penginapan yang kondusif.

“Majikan juga diingatkan agar mematuhi kriteria dan garis panduan yang diwajibkan semasa mereka memohon kuota penggajian pekerja asing bagi mengelakkan pembekuan mahupun tindakan disenaraihitamkan,” katanya. – MalaysiaGazette