JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyita sebanyak 84 produk makanan yang bernilai RM957.01 menerusi pemantauan dan penguatkuasaan sejak dua minggu lalu sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kesemua produk makanan disita kerana dijual kerana melebihi tarikh luput, tin kemek atau pembungkusan yang bocor atau rosak.
Katanya, pada tempoh sama dua premis di Mersing telah diarahkan tutup tidak melebihi 14 hari bagi tujuan pembersihan.
“Kita juga telah menerima dua aduan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan telah diterima dari pengunjung bazar Ramadan sehingga semalam.
“Aduan ini sedang disiasat dan masih belum ada sebarang keputusannya dan jika benar berlaku perlanggaran ke atas mana-mana Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pihak jabatan akan mengambil tindakan yang sewajarnya samada dikenakan kompaun atau diarahkan tutup tidak lebih dari 14 hari untuk tujuan pembersihan.
“Selain itu, dalam tempoh sama sebanyak 3,429 premis Bazar Ramadan telah diperiksa dari keseluruhan 8,708 premis yang disediakan. Hasilnya di dapati 98 peratus premis yang diperiksa mempunyai tahap penilaian kebersihan yang baik,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuis selepas program walkabout dan lawatan bazar ramadan Smart Pandan, hari ini.
Turut hadir Pengarah JKNJ, Datuk Dr Aman Rabu.
Dalam sidang media sama, beliau turut memberitahu sepanjang tempoh itu juga 152 Notis 32B dengan tawaran kompaun bernilai RM 26,800 telah dikeluarkan kepada pengusaha premis kerana tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Aktiviti pensampelan terpilih juga telah dibuat ke atas makanan yang berisiko tinggi di premis bazar, di mana sebanyak 77 sampel telah diambil untuk dianalisa di makmal untuk mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi.
“Sekiranya keputusan adalah tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, tindakan pendakwaan boleh dikenakan ke atas pengusaha makanan.
“Peniaga yang diberi notis kompauan ini kebanyakkannya melakukan kesalahan tidak memakai pelitup kepala, tidak memakai apron, kuku tangan panjang, tidak menutup makanan yang dijual dan beberapa kesalahan lain berhubung isu kebersihan,”katanya.
Dalam walkabout berkenaan JKNJ turut mengedarkan kod QR aduan kepada pengunjung bazar ramadan dan set apron kepada pengendali bazar ramadan.- MalaysiaGazette