Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli melawat Bazar Ramadan Tanjong Tokong, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjung Tokong di sini, hari ini.

Baginda berdua berangkat tiba di bazar itu pada jam 4 petang dengan Yang di-Pertuan Agong memandu sendiri kenderaan rasmi.

Al- Sultan Abdullah turut ditemani tiga anakanda baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan  Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Orang ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Ketibaan baginda berdua disambut dan diiringi kenamaan utama negeri, diketuai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta barisan Exco kerajaan negeri.

Dalam kunjungan kira-kira 45 minit itu, baginda berdua berkenan membeli juadah berbuka puasa, antaranya rebung masak lemak, pasembor, kuih serabai, cucur badak, nasi berani beserta kari kambing.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri  berkenan mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan Tanjong Tokong.

Baginda sebelum itu berkenan mengacau bubur lambuk dan mengedarkannya kepada pengunjung, selain beramah mesra bersama orang ramai.

Kira-kira 1,000 orang mengunjungi bazar yang menempatkan 83 lot menawarkan pelbagai kuih-muih, lauk-pauk serta minuman.

Pengunjung juga mengambil peluang untuk melihat tetamu istimewa itu secara lebih dekat termasuk berswafoto.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri dijadual berangkat menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Mutiara di sini, petang ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah beramah mesra dengan pengunjung di bazar berkenaan.

Terdahulu baginda berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada jam 1 tengah hari tadi.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Pinang selama tiga hari.

Esok Yang di-Pertuan Agong dijadual merasmikan Masjid Jamek Ar Rahmani Kampung Banggol, Kepala Batas dan menunaikan solat Jumaat bersama penduduk kampung di masjid itu.

Raja Permaisuri pula dijadualkan merasmikan Kompleks Darul Hanan, Pongsu Seribu, Kepala Batas.

Pada petang Jumaat, baginda berdua dijadual berangkat ke Majlis Nuzul al-Quran Kerajaan Pulau Pinang dan berbuka puasa di Masjid Negeri.

Pada Sabtu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang dan Hakim Syarie di Hotel Rasa Sayang sebelum berangkat pulang. – MalaysiaGazette

Tunku Azizah berkenaan menggoreng martabak di gerai bazar Ramadan Tanjong Tokong.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast