Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan kekal komited dalam usaha melaksanakan dasar-dasar yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran dana yang akan meningkatkan rizab antarabangsa serta memperkukuhkan nilai ringgit.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus melaksanakan dasar-dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti negara bagi meningkatkan daya tarikan jangka panjang Malaysia kepada pelaburan langsung asing dan portfolio.

“Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi domestik,” katanya dalam jawapan bertulis bagi Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab persoalan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin mengetahui langkah diambil oleh kerajaan untuk menstabilkan mata wang ringgit berbanding dolar US.

Prestasi nilai ringgit berbanding dolar US sejak kebelakangan ini adalah seiring dengan pergerakan mata wang serantau dan negara maju didorong oleh jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat.

Selain itu, pasaran dunia yang stabil, sentimen pelabur yang positif dan lebihan penerimaan pertukaran wang asing yang teguh disokong oleh kegiatan ekonomi teras negara dapat memperkukuhkan nilai ringgit.

“Pendekatan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkukuhkan nilai ringgit tertumpu terhadap usaha bagi memastikan pelarasan ringgit adalah dalam keadaan teratur. Keadaan ini akan membantu rakyat dan perniagaan merancang serta melaksanakan keputusan perbelanjaan dan pelaburan dengan baik,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata BNM akan terus menguruskan risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur. – BERNAMA