PUTRAJAYA – Semua pemegang taruh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) dinasihatkan agar berbincang secara fakta dan rasional, bukan mengikut emosi serta sentiment.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau terima hakikat selama ini AUKU telah digunakan dengan pelbagai tujuan.
“Ada yang menggunakannya untuk menakut-nakutkan, ada tujuan untuk mendapat sokongan dan sebagainya.
“Jadi, dengan perjumpaan hari ini, kita akan bincang secara rasional dan logik demi hanya untuk memastikan sektor pendidikan tinggi kita dapat berfungsi dengan baik dan mencapai matlamatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Sesi Townhall AUKU bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil penelitian segala perbahasan dan perbincangan yang dibuat selama ini, sekurang-kurangnya terdapat tiga pandangan berbeza berkenaan dengan akta itu.
Pertama, kata beliau, AUKU wajar dikekalkan dengan beberapa pindaan dan penambahbaikan; kedua, AUKU wajar dikekalkan dengan pindaan dan pertukaran nama; dan ketiga, AUKU digantikan sepenuhnya dengan satu akta yang baru.
Secara berseloroh, Mohamed Khaled menyentuh pandangan ketiga, yang mungkin pemegang taruh hendak wujudkan hubungan cara baharu antara kerajaan, kementerian dan universiti.
“Agaknya. Boleh juga (tukar kepada akta baharu), (tetapi) dengan syarat tak payah terima duit daripada kementerian dan kerajaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun, tidak menafikan AUKU menjadi topik yang sangat popular dan sering mendapat publisiti.
“Walaupun pelbagai penerangan telah dibuat, tetapi masih juga menjadi perbualan dan dibangkitkan dalam pelbagai perbahasan dan sebagainya.
“Oleh itu, kita telah beri komitmen dan memikirkan adalah wajar untuk kita lakukan libat urus sebegini.
“Sebab itu, hari ini kita semua dapat bersama-sama bagi tujuan mendengar dan menerima pelbagai pandangan serta input dan cadangan daripada semua yang berminat dan bersama dengan kita,” ujarnya.
Menurut Mohamed Khaled, AUKU merupakan satu akta yang menyediakan punca kuasa kepada kewujudan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), yang menggariskan hubungan dan akauntabiliti kerajaan serta IPT yang mendefinasikan peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Memandangkan ia satu akta yang menyeluruh, melibatkan banyak pihak, maka sebab itu kita menjemput pelbagai pemegang taruh yang ada kaitan dengan AUKU pada hari ini.
“Pemegang-pemegang taruh dalam AUKU ini tidak hanya terhad kepada pelajar sahaja. Daripada 44 Seksyen, hanya tujuh sahaja yang melibatkan soal pelajar, manakala selebihnya melibatkan pemegang taruh yang lain.
“Adalah tidak adil kalau kita melihat pada AUKU, kita hanya mendenar satu-satu segmen sahaja dan atas sebab itulah hari ini semua pemegang taruh, menteri hendak jumpa dan mendengar daripada mereka,” katanya.
Pemegang-pemegang taruh itu melibatkan kerajaan, pengurusan kementerian, pengurusan universiti, tenaga akademik dan bukan akademik serta pelajar.
Inilah, katanya, pemegang taruh untuk AUKU dan sewajarnya sepanjang adanya akta ini, mereka mungkin tiada cabaran dari pemegang taruh yang lain, selain pelajar.
“Tetapi, untuk pelajar, dalam penggal ini kita akan selesaikan semua sekali, pelajar akan dapat kebebasan sepenuhnya dan sebebas-bebasnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette