KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menawarkan kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh Syariah Ihsan-i kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 7 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M.Taib berkata, kemudahan Ihsan-i ini bertujuan membantu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh Syariah ini dengan kadar kompetitif.
“Ia terbuka kepada mereka yang berusia 40 hingga 55 tahun, memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2.
“Jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemohon hanya perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan oleh pihak bank.
“Ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja.
“Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan Syariah dan menggunapakai konsep Tawarruq.
“Kelulusan pembiayaan adalah tertakluk kepada kelayakan pembiayaan dan kedudukan kredit para pemohon,” katanya.
Antara lain kelebihan Ihsan-i adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal.
Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui laman sesawang www.fsa2mbsbbank.com. – Malaysia Gazette