KUALA LUMPUR – Setelah lebih 100 hari pentadbiran kerajaan Madani, ramai yang mula membuat penilaian mengenai prestasi menteri hari ini.
Ada yang menduduki tempat teratas kerana dilihat popular bukan hanya kenyataan yang dikeluarkan namun rajin turun padang.
Ada juga menteri yang duduk di tangga terbawah kerana kontroversi mengatasi tugasan.
Namun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang dilihat seolah-olah ada dan tiada di dalam pentadbiran.
Mengakui perkara itu Lih Kang berkata, tugasnya sangat mencabar apatah lagi berurusan dengan pakar-pakar dan saintis menyebabkan keterlibatannya kurang menyerlah.
“Tak apalah, orang tak nampak saya sebab kerja banyak di belakang tabir.
“Lagi pula, ada juga tugas-tugas saya tetapi mileage pergi ke kementerian lain,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program Owh!MG.
Jelasnya sebagai menteri, beliau lebih selesa bekerja di belakang tabir.
“Sebagai contoh inovasi mengenai vaksin, jika perkara itu berjaya, Kementerian Kesihatan yang orang akan nampak, bukannya Mosti.
“Begitu juga jika ada inovasi di peringkat sekolah atau universiti yang dilakukan, masyarakat akan nampak ia adalah daripada Kementerian Pendidikan atau (Kementerian) Pendidikan Tinggi.
“Tak apalah, saya ok saja, asalkan perkara itu berjaya,” katanya.
Jelasnya, sehingga hari ini, semua kakitangan Mosti yang bersama-samanya dan berkongsi banyak perkara.
“Dalam tempoh ini juga, banyak pencapaian yang telah kami lakukan, kerjasama dengan pihak luar negara lagi-lagi berkaitan inovasi dan teknologi,” katanya.
Lih Kang yang juga merupakan ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, tugasnya juga banyak berkait rapat dengan mereka yang di belakang tabir.
“Saya banyak buat kerja dengan saintis. Mereka ini bukan selebriti atau atlet.
“Kerana itu kementerian ini kurang popular,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak pentadbirannya, usahasama turut diadakan dengan agensi dari luar negara dan ternyata banyak pihak berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia.
“Saya bersyukur kerana selepas pandemik, keadaan kita semakin baik dan mula menjadi tumpuan.
“Seperti baru-baru ini, ada kerjasama antara Malaysia dan Sepanyol untuk teknologi dan inovasi.
“Ini perubahan yang baik dan bukan itu sahaja, ada juga usahasama negara kita dengan negara lain seperti Perancis, United Kingdom dan beberapa lagi,” tambahnya.
Katanya, tidak timbul mengenai kerterlibatannya ada atau tidak, tetapi paling penting adalah pembangunan khususnya sains dan teknologi negara ini dapat dipertingkatkan. – Malaysia Gazette