Chang Lih Kang

PUTRAJAYA – Hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini, sejumlah RM32.5 bilion pelaburan diterima membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, jumlah pelaburan itu merangkumi dua syarikat China menerusi syarikat automotifnya, Geely untuk kenderaan elektrik (EV) dan DC-Sciences Co Ltd (DCS) melibatkan pusat data.

“Pelaburan Geely akan mencecah RM30 bilion dalam EV dan juga negara kita telah banyak mempromosikan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

“Geely adalah pelabur yang paling besar setakat ini dan satu lagi adalah DC-Sciences yang merupakan sebuah pusat data yang akan bertapak di Johor nanti.

“Pusat data ini akan bawa pelaburan sebanyak RM2.5 bilion kepada Malaysia,” katanya dalam sidang media di pejabatnya berhubung lawatan Anwar ke China, baru-baru ini.

Lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini membawa pulang pelaburan berjumlah RM170 bilion.

Jumlah itu adalah daripada sejumlah 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan antara kedua-dua buah negara.

Dalam pada itu, selain Geely kaitangan dua lagi syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) akan tiba di negara ini pada Sabtu untuk menerokai peluang pelaburan.

“Dua syarikat ini tidak termasuk dalam pelaburan berjumlah RM170 bilion itu. Syarikat itu adalah China Harmony Auto Holding Limited dan GAC Aion New Energy Automobile Limited, tiada nilai pelaburan lagi kerana kedua-dua syarikat ini datang untuk meneroka peluang perniagaan,” ujar Lih Kang.

Jelas beliau, China turut berminat untuk melabur dalam bidang teknologi angkasa selain berbincang tentang tenaga yang diperbaharui dan kenderaan yang menggunakan tenaga ini.

“Selain EV, kita juga melibatkan kepada pelaburan dalam hidrogen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast