Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas memandang serius dan mengutuk perbuatan jenayah rejim Zionis yang menceroboh Masjid Al-Aqsa dan menyerang umat Islam yang sedang beribadah semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rejim Israel pada hakikatnya hanya mengulangi kejadian pada April 2022 dan 2021, yang telah mencetuskan perang 10 hari dengan rakyat Palestin.

“Pas berpandangan provokasi ganas dan perbuatan jenayah ini hanya akan mengundang respons balas serta ketegangan lanjutan yang berpotensi memburukkan keadaan keselamatan di rantau tersebut.

“Justeru, Pas menggesa semua pihak yang mencintai keamanan serta hak orang Islam untuk beribadah agar sama-sama bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengutuk keras perbuatan jenayah rejim Israel untuk kesekian kalinya ini.

“Ini kerana pencerobohan tempat ibadah, terutamanya pada bulan suci umat Islam ini bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Malah ia juga bercanggah dengan semua nilai mulia kemanusiaan yang menjadi tonggak penting kepada kehidupan bersama yang aman, adil dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera, sementara lebih 350 orang telah ditahan dalam pencerobohan rejim Israel di Masjid Al-Aqsa, semalam.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, keganasan itu perlu dihentikan serta-merta dan memerlukan campur tangan serta ketegasan segera daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Terdahulu, media melaporkan tindakan ganas dan tidak berperikemanusian itu telah mencederakan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, sementara lebih 350 orang telah ditahan dalam pencerobohan rejim Israel di Masjid Al-Aqsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast