Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pasangan remaja yang disyaki berkelakuan melanggar kesopanan di tempat awam telah ditahan secara berasingan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor, Mohd Sohaimi Ishak dalam kenyataannya berkata, suspek pelaku lelaki warga tempatan berusia lingkungan 22 tahun  manakala suspek wanita pula berusia 17 tahun.

Katanya, masing-masing ditahan di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai, Pasir Gudang Johor Baharu hasil siasatan pihak polis ke atas video berdurasi 23 saat yang viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati kejadian yang dipaparkan dalam video itu telah berlaku pada 29 Mac lalu jam 3.03 petang di tempat letak kenderaan di kawasan Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurut Mohd Sohaimi, turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia berwarna merah dan sehelai baju T putih dan merah.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun.

“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara.

“Turut diingatkan sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasaa bagi tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette