KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam polis rejim Zionis Israel merempuh masuk Masjid Al-Aqsa dan memukul rakyat Palestin di dalamnya tanpa berhati perut.
Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, mangsa-mangsa yang sedang beribadah diperlakukan seperti haiwan.
“Begitu pilu hati apabila melihat saudara kita di sana diperlakukan sebegitu rupanya.
“Perkara ini seolah menjadi acara tahunan bagi Israel, ia tidak boleh berterusan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Media antarabangsa melaporkan, serangan terbaharu rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera manakala lebih 400 orang ditahan.
Menurut saksi, polis rejim Zionis menggunakan kekerasan melampau termasuk bom tangan pegun dan gas pemedih mata serta memukul rakyat Palestin yang sedang beribadah dengan baton dan rifel.
Dr. Akmal menambah, Pemuda UMNO memohon kerajaan agar segera menghantar bantahan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Selain itu, beliau menambah, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu menggesa semua negara berkaitan memutuskan hubungan dengan Israel.
“Sebagai bantahan dan protes tergadap keganasan oleh Israel terhadap Palestin, sama-samalah kita menaikkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti bersama mereka.
“Dunia tidak boleh berdiam diri, termasuklah kita setiap warga Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette