KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank), sebuah bank Islam berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), menawarkan kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh Syariah Ihsan-i kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 7 April 2023.

Kemudahan Ihsan-i yang disediakan oleh MBSB Bank ini bertujuan membantu ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun, yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh Syariah ini dengan kadar kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun.

Pemohon perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan oleh pihak bank.

Ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja.

Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan Syariah dan menggunapakai konsep Tawarruq.

Antara kelebihan Ihsan-i adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal.

Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan Bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang
dipersetujui.

Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui laman sesawang www.fsa2mbsbbank.com bermula 7 April 2023. – MalaysiaGazette