SEPANG – Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya dalam mengurangkan isu kesesakan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Ini kerana kesesakan pada waktu puncak masih kritikal termasuklah di Lebuhraya MEX, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Sungai Besi terutama pada waktu pagi dan petang, katanya
“Keadaan kesesakan waktu puncak terutama ketika Ramadan ini agak kritikal…namun ia masih terlalu awal untuk melihat keberkesanan laluan MRT ini bagi mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.
MRT laluan Putrajaya dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lepas.
Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) di Kompleks ERL Salak Tinggi di sini hari ini, Loke berkata pihaknya menyasarkan laluan Putrajaya itu digunakan 200,000 penumpang setiap hari berbanding kira-kira 80,000 pada masa ini.
Menurutnya, jumlah penumpang yang direkodkan dalam tempoh dua minggu pertama ketika beroperasi secara percuma adalah sebanyak 100,000 setiap hari.
“Memang perkara biasa sebab kalau percuma memang ramai orang akan guna namun kita melihat trend jumlah penumpang menggunakan pengangkutan awam itu sekarang terus meningkat.
“Kita akan ambil sedikit masa untuk tingkatkan jumlah penumpang, memang dalam semua perkhidmatan rel ini adalah perkara biasa yang mana masa diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata inisiatif program tenaga diperbaharui bakal diperluaskan ke stesen-stesen pengangkutan awam di seluruh negara terutamanya bagi sektor pengangkutan rel.
“Dasar ini akan diperluaskan kepada operator seperti Prasarana, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan pada masa depan kita rancang untuk pasang pada stesen MRT dan LRT untuk di sekitar Lembah Kelang,” katanya.
Program tenaga diperbaharui ERL fasa pertama melibatkan pemasangan panel solar di atas bumbung stesen Bandar Tasik Selatan dan stesen Salak Tinggi yang telah berfungsi sepenuhnya sejak tahun lepas, serta yang terbaharu di Depoh ERL Salak Tinggi. – BERNAMA