Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh bersama Pemuda Umno yang lain membakar bendera Israel sebagai bantahan terhadap kekejaman rejim Israel yang melakukan serangan je atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu lalu pada Himpunan Aman Solidariti Bersama Palestin ketika di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini bertindak membakar bendera Israel sebagai menandakan  kemarahan terhadap kekejaman zionis yang menyerang Masjid Al-Aqsa di Palestin pada Rabu lalu.

Protes diadakan di hadapan Masjid Kampung Baru di ibu negara dengan disertai puluhan anggota pergerakan pemuda parti itu dan para jemaah seusai menunaikan solat Jumaat.

Ketua Pergerakannya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, himpunan aman yang diadakan itu membawa mesej kepada regim zionis bahawa tindakan mereka menzalimi rakyat Palestin merupakan satu perkara yang keji dan perlu dihentikan.

Katanya, walaupun mereka bertindak kejam ke atas rakyat Palestin, namun umat Islam di seluruh dunia akan bangkit dan menentang kekejaman yang dilakukan.

“Sudah-sudahlah, cukup-cukuplah tak habis-habis mereka ini (zionis) menyakiti saudara kita di Palestin.

“Maka ini isyarat yang jelas mereka ini perlu dihalang sesegera mungkin kerana kalau tak dihalang makin menjadi-jadi.

“…dan kita rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri melihat sahabat-sahabat, saudara-saudara kita dizalimi seperti binatang,” katanya kepada media sejurus mengadakan perhimpunan tersebut.

Sebahagian umat Islam memijak bendera Israel sebagai bantahan terhadap kekejaman rejim Israel yang melakukan serangan je atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu lalu pada Himpunan Aman Solidariti Bersama Palestin ketika di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2023.

Sementara itu, Dr Akmal berkata, satu surat bantahan akan dihantar kepada Kementerian Luar Negeri bagi menggesa Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak menghentikan kekejaman Israel di bumi Palestin.

Kataya, surat tersebut akan dihantar oleh pergerakan pemuda itu pada Isnin ini.

“Kita akan menggesa kerajaan Malaysia dan kita juga akan menghantar surat bantahan secara rasmi kepada Kementerian Luar Negeri untuk membantah diperingkat OIC dan juga PBB.

“Kita juga menggesa seluruh negara-negara Islam bersatu padu dan juga menentang keganasan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh regim zionis kepada sauadara kita di Palestin” tambahnya. – MalaysiaGazette