PUTRAJAYA – Ramalan Hari Raya Aidilfitri yang akan jatuh pada hari Jumaat, 21 April 2023 oleh ahli Astronomi Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, perbincangan perlu dibuat demi memastikan Aidilfitri ‘mengejut’ tahun lalu tidak berulang lagi.
Walau bagaimanapun, Naim berkata, keputusan berkenaan di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
“Seboleh-bolehnya kita nak elakkan apa yang berlaku pada tahun lepas berulang, supaya tidak terkejut, itu hasrat kita.
“Jadi kita akan bincang di peringkat jawatankuasa fatwa dan sebagainya.
“Penentuan bila raya dan sebagainya itu terletak kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja jadi apa yang saya boleh nasihatkan kita bersabar,” katanya ketika sidang media di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.
Artikel berkaitan: Jakim nafi tarikh Aidilfitri sudah ditetapkan
Semalam The National News melaporkan Persatuan Astronomi Emirates (UAE) meramalkan Ramadan pada tahun ini akan berakhir pada 20 April bermaksud Aidilfitri pada Jumaat.
Sebelum ini, telah timbul spekulasi mengatakan Aidilfitri tahun ini sekali lagi disambut sehari sebelum yang dijangkakan.
Namun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan pada 31 Mac lalu meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi .
Ia kerana, pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri dibuat berdasarkan keputusan cerapan di 29 lokasi dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.-MalaysiaGazette