Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengadakan pertemuan dengan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia bagi membincangkan persiapan menjelang Olimpik Paris 2024.

Pertemuan itu juga dijangka berbincang mengenai prestasi semasa pemain itu yang dilihat merosot.

Zii Jia antara 15 atlet kebangsaan yang menduduki ranking 10 terbaik dunia terpilih untuk membawa misi emas pertama negara ke Sukan Olimpik kali ini.

Pertemuan ini dianggap penting untuk menteri dan juga pemain mengenal pasti masalah pemain untuk ditangani segera sebelum membawa impian negara ke temasya empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun, Hannah berkata, masih terlalu awal untuk mengandaikan sekiranya Zee Jia kembali semula ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas mengambil tindakan mengejut meninggalkan akademi tersebut dua tahun lalu.

“Saya akan berjumpa Zee Jia pada hari esok tetapi buat masa ini adalah sangat pramatang untuk bercakap untukĀ  kembali semula ke ABM.

“Sebab itu beberapa komen yang dilemparkan terhadap prestasi semasa pemain itu di atas gelanggang adalah sangat tidak adil,” katanya dalam sidang media Road To Gold (RTG) di sini hari ini.

Majlis itu mengumumkan senarai 15 atlet sukan profesional negara ranking 10 terbaik dunia yang terpilih untuk membawa misi pemburuan emas pertama negara di Olimpik Paris 2024.

Hannah menambah, beliau mengharapkan yang terbaik daripada jaguh kelahiran negeri Kedah Jelapang Padi itu sambil menegaskan tiada sebarang formula khas untuk mengejar kejayaan di olimpik.

Zii Jia memulakan musim badminton 2023 tanpa melayakkan diri ke pusingan suku akhir kesemua kejohanan badminton yang disertai setakat ini.

Beliau tersingkir dalam pusingan pertama Badminton Terbuka Malaysia dan terkandas pada pusingan kedua Terbuka India, Indonesia Masters dan terbaharu Terbuka Jerman.

Pada Mac lalu, Zee Jia selaku juara bertahan gagal mempertahankan gelaran Terbuka All-England selepas kalah mengejut kepada Shi Yu Qi dari China pada pusingan separuh akhir. – MalaysiaGazette