Seramai 65 PATI pelbagai warganegara yang dibekal sindiket guna pas PLKS palsu didalangi warga India dengan kaut untung RM6 juta setahun di negara ini ditumpaskan IMigresen. Ihsan JIM Putrajaya

PUTRAJAYA – Satu sindiket membekalkan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan didalangi warga asing berstatus ekspatriat dari India berjaya digempur dan dilumpuhkan oleh Jabatan Imigresen dalam operasi khas yang dijalankan pada 5 dan 6 April lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata,  hasil risikan dan maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor serta pejabat operasi sindiket yang terletak di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan, pasukan operasi telah menahan seramai 65 orang PATI melibatkan 43 orang lelaki warganegara India, 20 orang lelaki warganegara Bangladesh dan dua orang lelaki warganegara Pakistan yang kesemuanya berumur lingkungan antara 25 hingga 45 tahun.

Seramai 65 PATI pelbagai warganegara yang dibekal sindiket guna pas PLKS palsu didalangi warga India dengan kaut untung RM6 juta setahun di negara ini ditumpaskan IMigresen. Ihsan JIM Putrajaya.

“Malah dalang utama sindiket terbabit iaitu seorang lelaki warganegara India turut berjaya dicekup dalam operasi khas itu dan hasil semakan awal mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen,” katanya dalam kenyataan kejayaan hari ini.

Tambah Ruslin, hasil soal siasat dan pengakuan daripada suspek utama, pasukan operasi telah bergerak ke satu lagi lokasi di Seremban dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang memainkan peranan sebagai orang kanan sindiket tersebut.

Katanya, semakan lanjut Imigresen mendapati suspek yang berusia 30 tahun itu menggunakan pas PLKS untuk bergerak bebas di dalam negara ini.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menubuhkan syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja.

“Sekiranya dipersetujui majikan dan kilang, sindiket ini membekalkan pekerja asing yang telah diberikan pelekat PLKS palsu yang bertujuan supaya majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja yang sah berdasarkan pelekat yang tertera di pasport.

“Malah sindiket ini juga mengenakan bayaran sebanyak RM6,000 untuk setiap pekerja warga asing yang ingin mendapatkan PLKS palsu itu bagi membolehkan mereka bekerja di kilang tersebut sementara majikan atau kilang yang menggunakan pekerja asing ini perlu membayar gaji pekerja kepada syarikat sindiket berkenaan,” katanya lagi.

Seramai 65 PATI pelbagai warganegara yang dibekal sindiket guna pas PLKS palsu didalangi warga India dengan kaut untung RM6 juta setahun di negara ini ditumpaskan IMigresen. Ihsan JIM Putrajaya

Dalam operasi sama, pihaknya turut merampas 62 naskah pasport terdiri daripada 40 pasport India, 20 pasport Bangladesh, dua pasport Pakistan yang di dalamnya terdapat pelekat PLKS palsu serta lapan keping pelekat PLKS palsu yang belum dilekat di dalam pasport.

Ruslin turut mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram yang dilakukan menggunakan PATI.

Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001 dan kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM komited untuk membanteras keberadaan PATI di negara ini dan akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol melindungi PATI,” kata beliau.- MalaysiaGazette