Dr Muhammad Fathi Yusof

PERBEZAAN pandangan yang dizahirkan badan kehakiman, SPRM, Majlis Peguam Negara serta Menteri Undang-undang berkaitan kes hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali boleh memberikan imej tidak baik terhadap kewibawaan pihak berkuasa negara dalam memastikan pemerintahan yang cekap, adil dan bersepadu terutamanya dalam menghadapi cabaran rasuah dalam negara.

Tidak dinafikan bahawa setiap pihak termasuklah badan kehakiman dan badan penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM mempunyai peranan dan tanggung jawab tersendiri yang perlu dilaksanakan.

Komunikasi yang baik antara badan-badan penting ini amat penting agar wujud persefahaman yang positif terutamanya berkaitan dengan pelaksanaan bidang kuasa masing-masing.

Persoalan berkaitan pelanggaran Kod Etika Hakim adalah di bawah bidang kuasa badan kehakiman sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, memandangkan laporan berkaitan pelanggaran itu melibatkan fakta berkaitan rasuah, maka langkah SPRM bertindak melaksanakan penyiasatan adalah sah menurut Akta SPRM dan tidak wajar dipertikaikan.

Penyiasatan tersebut sepatutnya dilihat sebagai satu bentuk kerjasama antara dua institusi, bukannya campur tangan oleh satu institusi ke atas institusi yang lain.

Kuasa SPRM ini tidak boleh dipertikaikan kerana semua pihak sama ada dari badan perundangan, kehakiman atau pentadbiran adalah tertakluk kepada siasatan kes rasuah.

Siasatan SPRM yang dianggap sebahagian dari anggota badan pentadbiran ke atas badan perundangan atau kehakiman tidak boleh ditafsirkan sebagai satu campur tangan satu badan kerajaan ke atas badan kerajaan lain di bawah doktrin pengasingan kuasa.

Majlis Peguam Negara tidak sewajarnya mempertikaikan kuasa SPRM ini.

SPRM juga tidak memerlukan kebenaran ketua sesuatu cabang kuasa untuk melaksanakan siasatan ke atas anggota cabang kuasa berkenaan.

Misalnya SPRM boleh melakukan siasatan ke atas seorang anggota Dewan Negara tanpa perlu kebenaran daripada Yang Dipertua Dewan Negara. Demikian juga SPRM boleh menyiasat seorang hakim tanpa memerlukan kebenaran dari Ketua Hakim Negara.

Walau pun demikian, SPRM tidak boleh menentukan persoalan sama ada Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim atau tidak, kerana ia adalah kuasa badan kehakiman.

Oleh yang demikian, persoalan peguam Najib, Shafee Abdullah yang dilaporkan menulis surat kepada Azalina Othman Said meminta menteri undang-undang itu mengesahkan sama ada SPRM mendapati Nazlan berkonflik kepentingan ketika mempengerusikan kes SRC International atau tidak, sewajarnya tidak perlu diberikan jawapan atau maklum balas.

Maklum balas Menteri yang mengesahkah persoalan itu tidak menepati prinsip penentuan bidang kuasa penentuan pelanggaran Kod Etika Hakim yang terletak di bawah kuasa badan kehakiman sesuai dengan Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Ringkasnya, kita mengharapkan semua institusi yang menguruskan keadilan dan undang-undang dalam negara dapat mengendurkan perbezaan dan menamatkan pertikaian terbuka antara satu sama lain.

Kecelaruan dalam menetapkan bidang kuasa boleh diatasi dengan komunikasi yang baik antara badan-badan yang terlibat. Rakyat tidak berminat untuk mengetahui siapa yang berkuasa untuk melakukan apa.

Rakyat inginkan kerajaan yang cekap, adil dan kukuh dalam mentadbir dan melaksanakan undang-undang bagi menegakkan keadilan serta menghapuskan penyelewengan.

Kita mengharapkan pihak-pihak yang berwajib tidak mengelirukan rakyat, dan memberikan mesej yang salah kepada rakyat.

PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF 
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia
Kuala Lumpur
7 April 2023

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast