KUALA LUMPUR – Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan memainkan peranan menyeru anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu bagi menangani kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Baginda menzahirkan rasa duka cita dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas terbaharu regim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Majlis al-Aqsa.
Al-Sultan Abdullah menyifatkan serangan dan pencerobohan tempat suci ketiga umat Islam itu sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.
Ini terutama serangan itu berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya dalam tempoh aman.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Arifin, baginda turut menyifatkan tindakan tentera rejim Israel bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mencabuli hak asasi manusia serta kesucian masjid.
“Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
“Sehubungan dengan itu Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan segera membebaskan semua tahanan Palestin,” kata Zahari.
Al-Sultan Abdullah bertitah, Malaysia menyokong dan berpegang teguh dengan pendirian selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan sebelum 1967.
Pelan asal itu menetapkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” kata Zahari.
Sementara itu baginda menyeru masyarakat beragama Islam di negara ini mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.
Solat sunat tersebut boleh dilaksanakan di masjid, surau atau kediaman sendiri. – MalaysiaGazette