GEORGE TOWN – Remaja berusia 14 tahun antara dikenal pasti bebas keluar dan masuk bagi membeli cecair berasaskan nikotin bagi vape mereka.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, situasi itu dikesan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ketika melakukan tinjauan di beberapa kedai vape di negeri ini, dua hari lalu.

Menurut Subbarow, tinjauan itu mendapati sebahagian daripada pelanggan kedai vape berkenaan kelihatan sangat muda.

“Terdapat pengunjung yang mengaku berusia 14 tahun dan memberitahu CAP bahawa selepas 1 April baru berani masuk kedai vape berbanding sebelum ini takut untuk membeli cecair nikotin itu.

“Ada antara golongan muda itu tidak berpuas hati dengan pelaksanaan duti eksais tetapi itu tidak menghalang mereka bagi membeli cecair nikotin terbabit.

“Malah, penghisap vape seperti pelajar mendakwa mereka mendapatkan wang daripada rakan dan ahli keluarga bagi membeli cecair berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Subbarow, CAP bimbang trend ini akan membawa kepada keadaan tidak sihat bagi generasi muda akan datang kerana vape dan e-rokok berkesan membantu mencipta nikotin ketagih generasi baharu.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil langkah segera bagi membendung remaja membeli cecair nikotin tanpa sebarang masalah.

“Jika tidak, kita mungkin perlu menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan dadah di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette