Suasana meriah ribuan orang termasuk pelancong asing mula berkumpul dan bersiap untuk berbuka puasa di Program Iftar@KL 2023 anjuran JKKN Kementerian Pelancongan di Dataran Merdeka hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program Majlis Berbuka Puasa Ramadhan atau Iftar@KL yang berlangsung di Dataran Merdeka selama empat hari bermula 8, 9, 15 dan 16 April ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, sasaran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu realistik selepas beberapa siri penganjuran pada tahun terdahulu berjaya menggamat sambutan luar biasa.

Katanya, keunikan Iftar@KL adalah ia hanya dianjurkan di ibu kota sahaja tetapi berjaya menarik masyarakat dari luar Kuala Lumpur termasuk pelancong asing seramai hampir 350,000 orang sehingga 2019.

“Iftar@KL kali ini akan diadakan selama empat hari iaitu pada tarikh 8,9, 15 dan 16 April ini dengan mensasarkan seramai 10,000 pengunjung dan menjangkakan sambutan luar biasa dari warga kota dan juga dari luar termasuk pelancong asing di KL,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan program tersebut.

Suasana meriah ribuan orang termasuk pelancong asing mula berkumpul dan bersiap untuk berbuka puasa di Program Iftar@KL 2023 anjuran JKKN Kementerian Pelancongan di Dataran Merdeka hari ini.

Cuaca mendung dan mula gelap sebelum hujan turun memaksa pengunjung berpindah ke Bangunan Sultan Abdul Samad untuk berbuka puasa.

Terdahulu Khairul mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang berada di Dataran Merdeka bersempena program tersebut.

Tambah beliau, program ini dianjurkan buat tahun ke-11 sejak 2012 tetapi pada tahun 2020 ia tidak dapat dianjurkan kerana Covid-19.

Khairul berkata, Iftar@KL bertujuan mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan selain menambah nilai kerohanian serta merapatkan dan mengeratkan silaturrahim serta toleransi antara
kaum.

Pada masa yang sama menyemarakkan lagi kebudayaan dan kesenian negara kita kepada pelancong asing, tambah beliau.

“Program Iftar@KL sebelum ini dikenali sebagai Festival Ramadhan sehingga 2014 dan berjaya mencatatkan jumlah kehadiran khalayak tempatan dan antarabangsa seramai 65,380 orang pada waktu tersebut.

“Namun, sambutannya bertambah luar biasa selepas ia dijenamakan semula pada tahun 2015 sehingga kini yang dikenali sebagai Iftar @ KL dengan kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa dari tahun 2015 hingga tahun 2019 adalah keseluruhan seramai 346,974 orang.

“Justeru, Iftar 2021@Ramadan Online telah berlangsung pada 29 dan 30 April 2021 (Khamis dan Jumaat) dan buat pertama kalinya program ini disiarkan menerusi JKKNTV online dan telah meraih 13,925 tontonan dari Malaysia dan negara luar seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Mesir, Australia, Ethiopia, Qatar dan Taiwan dengan PR value bagi Iftar 2021@ Ramadan Online adalah RM5,265,037.91,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast