Saifuddin (tengah) hadir iftar KDN dan majlis penerapan nilai-nilai murni di Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperhalusi beberapa langkah bagi menangani kesesakan permohonan pasport khususnya di kawasan Lembah Klang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara langkah yang dikenal pasti termasuk tiada lagi walk-in di beberapa pejabat pengeluar pasport sekitar Lembah Klang serta menggantikan mesin cetakan pasport berkeupayaan tinggi berbanding mesin sedia ada.

Jelas beliau, semua urusan permohonan pasport di pejabat terpilih itu akan diproses secara atas talian kecuali mereka yang terdiri daripada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa.

Saifuddin.

“Sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diitamatkan, permohonan untuk dapatkan pasport meningkat mendadak sehingga empat kali ganda dan ia mendorong kepada kesesakan teruk di tempat pengeluaran pasport khususnya di Lembah Klang.

“Berdasarkan data kita, sebanyak 2.8 juta pasport dikeluarkan dari tempoh itu sehingga kini namun daripada 77 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara hanya 21 pejabat dikenal pasti mengalami kesesakan.

“Jadi sekarang kita sedang memperhalusi projek perintis untuk jadikan permohonan pasport hanya boleh dibuat secara atas talian dan mereka (orang ramai) perlu hadir ke pejabat terpilih itu untuk mendapatkan pasport yang telah siap dicetak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Bayan Baru, di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, pejabat pengeluar pasport sekitar Lembah Klang yang akan dipilih untuk projek perintis itu berdasarkan kepada tahap capaian internet penduduk kawasan berkenaan meliputi 100 peratus sekali gus tiada dijangka tidak ada berlaku masalah ketika mengemukan permohonan atas talian.

“Ini bukan Lubuk Antu atau Kapit di Sarawak, ini kawasan Shah Alam, Klang, Damansara yang mana capaian internet penuh.

“Kalau nak bangkitkan isu permohonan secara atas talian ada yang ditolak kebanyakannya membabitkan kualiti gambar jadi orang awam kena biasakan kualiti gambar itu seperti yang diminta kerana berdasarkan data daripada 2.8 juta permohonan, 45 peratus membabitkan permohonan secara atas talian yang berjaya,” jelas beliau.

Mengulas mengenai mesin cetak pasport yang baharu Saifuddin berkata, penggantian mesin itu akan dibuat susulan mesin sedia ada yang hanya mampu mencetak 450 buku pasport sehari bagi setiap pejabat pengeluarnya.

“Kita dalam rancangan dapatkan mesin cetak pasport berkeupayaan tinggi yang mana sebanyak 120 pasport boleh dicetak dalam tempoh satu jam sekali gus kita anggarkan 1,000 pasport dihasilkan untuk sehari.

“Kita nampak ruang untuk penambahbaikan dari segi mesin cetak juga namun semua ini akan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. SAH FAKTA boleh dikongsi dan disebar viralkan bahawa Sarawak amat mundur static.
    Internet pun entah tercapai entah tiada…. KALIMANTAN dihutan tu pun terurus MAJU TECHNOLOGY.
    Ini Salah dan KELEMAHAN dalam kemajuan tamadun manusia MALAYSIA.
    LEMAH MUNDUR ini dipihak mana?
    Kerajaan NEGERI atau KERAJAAN PUSAT?
    kerana kemunduran static ini yang PASTI rakyat disana tidak mampu menjadi BIJAK lebih 40%.
    nak fikir TUKAR pun tak terfikir. hahaha
    Kemunduran ni Menteri yang pecahkan rahsia…

  2. INILAH MENTERI yang TERLANTIK….wpun KECUNDANG TERUK PRU15…..kesian DR ZULKIFLY AHMAD dibakulsampah wpun menang bergaya d Selangor

Comments are closed.