KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysia berkenaan Laut China Selatan adalah konsisten dan kekal tidak berubah.
Kementerian Luar berkata, kerajaan tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara dalam kawasan maritimnya di Laut China Selatan seperti terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979.
Malaysia berpendirian teguh bahawa isu berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982).
Rujukan kepada ‘rundingan’ semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 4 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman.
“Maksudnya perbincangan melalui platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik serta tanpa menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan dan ancaman atau penggunaan kekerasan.
“Dalam usaha bersama demi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut yang aman, stabil dan selamat untuk laluan perdagangan, maka dalam konteks ini Malaysia akan terus mengambil pendekatan diplomatik dalam urusannya dengan lain-lain negara termasuk China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wisma Putra menyifatkan, pendekatan diambil itu selaras dengan peruntukan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).
Pendekatan itu, antaranya penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan seperti dipersetujui Negara-Negara Anggota ASEAN dan China pada 2002.
Pendekatan rundingan juga sedang diambil Negara-Negara Anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan sebuah Kod Tatalaku di Laut China Selatan.
Negara-Negara Anggota ASEAN dan China komited terhadap proses itu bagi menghasilkan sebuah Kod Tatalaku berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk KUUL 1982. – MalaysiaGazette