KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas atau Task Force telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan kes penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi Diraja (3R) di negara ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pasukan petugas itu ditubuhkan pada 22 Mac lalu dan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Katanya, pasukan tersebut berperanan menyiasat kes-kes melibatkan penghinaan agama, kaum dan institusi Diraja yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
“Objektif Task Force berkenaan adalah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh hari.
“Bagi tempoh 27 Mac lalu hingga 6 April ini, sebanyak tujuh kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes 3R yang mana daripada jumlah itu empat berkaitan hina instutusi Diraja, dua kes menghina agama dan satu kes membabitkan elemen perkauman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, setakat ini, dua individu ditahan dalam kes penghinaan institusi Diraja dan perkauman manakala seorang suspek masih dikesan polis.
Menurutnya, daripada tujuh kertas siasatan itu, tiga telah ditujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan manakala empat lagi kes masih dalam siasatan polis dari pihak USJT.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3 R.
“Perkara seperti ini boleh menjurus kepada fitnah dan menyakiti hati orang sehingga boleh mengundang kepada kemarahan masyarakat dan kekacauan.
“Sehubungan itu gunakan media sosial secara bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terpelihara.
“Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette