Orang awam menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang menghiasi ruang udara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kuala Lumpur .Foto MUHD NA’IM, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) ditangguhkan sehingga 31 Mei bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi libat urus itu akan diadakan denghan pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi bagi memberi penjelasan, di samping mendapatkan maklum balas sewajarnya berkaitan pewartaan PSKL 2040.

Anwar yang mempengerusikan sesi pembentangan Draf PSKL 2040 oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL semalam berkata, beliau mengambil maklum bahawa proses penyediaan dokumen telah dilaksanakan mengikut keperluan yang diperuntukkan di dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dengan teratur.

“Kendatipun begitu, saya juga mengambil perhatian akan pandangan yang berkehendakkan supaya pewartaan dokumen ini ditangguhkan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada pihak berkepentingan yang lain untuk menyatakan pandangan terhadap pelan pemajuan bandaraya Kuala Lumpur.

“Dalam hal ini saya telah mempertimbangkan dan bersetuju pewartaan PSKL 2040 ditangguh bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus dilaksanakan sehingga 31 Mei 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – MalaysiaGazette