Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Permohonan UMNO kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengampunkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi sebarang tekanan atau dilema kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang. Hassan Abdul Karim berkata, soalan tersebut tidak relevan dan tidak berbangkit.

Ini kerana menurutnya, isu pengampunan diraja adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.

Anwar menurut beliau, tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan Agong berhubung perkara tersebut.

“Adakah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berada di dalam keadaan tertekan dan dilema untuk menasihati Agong sama ada untuk memberi pengampunan ataupun tidak kepada Najib Razak?

“Soalan ini tidak relevan dan tidak berbangkit. Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan itu selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.

“Ini bermakna Nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan,” kata Hassan.

Tambah beliau, Perkara 42(4)(b) menyatakan dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa pengampunan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42.

Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab (Perkara 42(11)) dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.

“Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab di bawah Perkara 42(11) itu bukan Perdana Menteri tetapi Menteri Dalam Negeri. Ini membebaskan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dari beban memutuskan soal pengampunan diraja itu.

“Kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah besar dalam soal pengampunan ini.

“Misalnya Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Agong dan Agong hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu (Perkara 42(8)),” katanya.

Tambah beliau, Anwar dan kerajaan akan selamat daripada ‘badai’ jika mematuhi doktrin pengasingan kuasa mengikut peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan Fasal (1) hingga Fasal (13) iaitu tidak campur tangan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam isu pengampunan tersebut.

Hassan turut menegaskan, Anwar selaku Perdana Menteri juga tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan terhadap Najib mengambil masa.

“Anwar Ibrahim juga tidak boleh di persalahkan jika pengampunan dibenarkan ataupun ditolak.

“Jika doktrin pengasingan kuasa dihormati dan dipatuhi maka kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan pimpinannya akan selamat dari diganggu-gugat,” jelas beliau.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam sebulat suara bersetuju untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan memberi pertimbangan pengampunan diraja kepada Najib. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa muslihat ahli UMNO melalak membebaskan Najib Razak dari jenayah besar itu dengan cara mudah?
    Seharusnya jenayah ini dilalui dengan Undang-undang sehingga suatu waktu yang menginsafkan dosa-dosa dilakukan.
    Kenapa bersungguh UMNO bela Najib dan tidak membantu PENJENAYAH lain?
    Anwar Ibrahim dan DAP perlu perhalusi perkara ini…

Comments are closed.