ADUN Pandan Indah yang juga Exco Pertanian Selangor, Izham Hashim menyerahkan barangan keperluan yang dibeli oleh penduduk pada Jualan Ehsan Aidilfitri Selangor ketika di Flat PKNS Taman Dato Harun, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2023.

PETALING JAYA – Kerajaan Selangor memberi jaminan akan menolak projek pembangunan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) jika ia memberi kesan negatif.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, sehingga kini, pihak pemaju belum menyiapkan laporan untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Jelasnya, kerajaan negeri akan membuat keputusan sama ada projek berkenaan wajar dibangunkan atau sebaliknya selepas meneliti laporan berkenaan kelak.

“(Pemaju) PJD Link tidak siapkan lagi laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA) sudah, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pun belum disiapkan, pihak itu perlukan beberapa bulan untuk siapkannya.

“Jadi tempoh siapkan laporan disambung oleh Kerajaan Pusat.
Bila laporan ini dibentang, kemudian kita akan nilai kalau didapati tidak sesuai tidak wajar dibuat, kerajaan negeri akan tolak, tidak ada masalah,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Taman Medan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak akan ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan projek pembinaan seperti itu.

Dalam masa yang sama, kata Izham, kerajaan negeri perlu menilai kesan pembinaan projek berkenaan daripada semua aspek, bukan hanya berdasarkan daripada bantahan semata-mata.

“Tapi kalau didapati ada kewajaran kena buat, sebab kita kena ingat projek pembangunan begini akan ada yang menyokong ada yang menentang.

“Jadi tidak boleh lihat hanya yang menentang kalau kuat suara mereka, kena buat keputusan berdasarkan penilaian, untuk lihat betul atau salah pembangunan itu nanti, termasuk apa kelamahannya, kita akan ulas dan buat keputusan bersama semua yang terlibat dalam MTES,” tambah Izham.

Pada 1 April yang lalu, penduduk Kinrara berhimpun bagi menyuarakan bantahan secara konsisten terhadap projek PJD Link.

Salah seorang penduduk di Bandar Kinrara 1 (BK1) Paveanthen Ramachandran mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu memberi penjelasan sama ada beliau bersetuju atau sebaliknya dengan projek pembangunan lebuhraya berkenaan.

Beliau mendakwa penduduk masih keliru dengan pendirian kerajaan negeri kerana sehingga hari ini tiada komunikasi di antara kerajaan negeri dengan penduduk beberapa taman perumahan di kawasan tersebut.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Alasan pembinaan PJD Link atasi kesesakan tidak relevan – Penduduk

1 Komen

  1. “Pemaju PJD Link tidak siapkan laporan Penilaian”
    “Jadi siapkan laporan disambung Kerajaan Pusat.
    kita akan nilai kalau tidak wajar kerajaan negeri akan tolak”
    Best pemaju ni akan jimat belanja… mesti ada menu Rahmah hahaha.

    “Penduduk (BK1) Paveanthen Ramachandran mahu Amirudin beri penjelasan kerana kerajaan negeri tiada komunikasi”.
    rakyat SELANGOR tunggu la time PRN nanti komunikasi Welanon tu akan hantar depan lubang hidung hahaha

Comments are closed.