Ahmad Zahid Hamidi.

MACHANG – Hasrat UMNO mempersembah permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan pengampunan kepada bekas Presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mengikut prosedur perundangan sedia ada dan tiada desakan politik.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya telah mengikuti semua prosedur perundangan sedia ada sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan itu.

“Kami sebagai sebuah parti politik tentunya mengikut semua prosedur perundangan sedia ada dan apabila prosedur diikuti, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan,” katanya selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Kelantan 2023 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu tidak seharusnya berbangkit kerana sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. UMNO mempersembah permohonan kepada Agong untuk pengampunan Najib mengikut prosedur dan tiada desakan politik.
    Welanon ni terketar-ketar ke terbayang-bayang future besi tu? Prosedur hantar pada Lembaga Pengampunan jika tidak kenal bagi je pada PM uruskan.
    Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,… yang ni tak tau nak diguna cerok mana… junjung kasih YDPA tidak berlaku seperti Arab Saudi….

Comments are closed.