MELAKA – Sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan yang juga anak tiri kepada lelaki berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Pengawal keselamatan berusia 36 tahun itu dan isterinya, 40 tahun yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak dibawa dengan tangan bergari ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Tempoh reman bermula hari ini sehingga 15 April dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Rendah Melaka Siti Nur Ain Ariffin bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan/109 kanun sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi dalam satu kenyataan berkata, pasangan itu di tahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
“Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jasin dan merupakan anak kandung kepada wanita itu membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu sejak tiga tahun lalu
“Wanita itu yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak juga ditahan kerana kita percaya turut mengetahui perbuatan suaminya itu,” katanya
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan hilang dari rumahnya di Jasin namun berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat Rabu lalu selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette