Hamidin Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Sasaran skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk layak ke final acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei ini tidak berubah meskipun terpaksa berdepan dua pasukan pilihan iaitu Thailand dan juara bertahan Vietnam dalam saingan Kumpulan B.

Biarpun tanggapan orang ramai bahawa skuad bimbingan E. Elavarasan itu diundi dalam kumpulan ‘maut’ kerana turut disertai Singapura dan Laos namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menganggap sebaliknya.

Beliau berkata undian itu adalah yang terbaik buat Harimau Muda dan halangan yang menanti anak buah Elavarasan pernah dilalui skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang akhirnya berjaya meraih pingat emas pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.

“Saya sudah tanamkan kepada pemain dan Elavarasan… Thailand dan Vietnam (kalau) kita jumpa awal lagi senang bergantung kepada taktikal. Ini terjadi semasa saya jadi pengurus dan Datuk Ong jadi jurulatih (2011) … ketika itu dipanggil juga kumpulan maut apabila Malaysia, Thailand dan Indonesia satu kumpulan.

“Saya rasa lebih baik kumpulan ini kerana kita lawan pasukan kuat lebih awal dan akan jumpa pasukan dari kumpulan yang dikatakan laluan mudah… tetapi bagi kejohanan karnival, tumpuan, kecederaan dan komitmen pemain penting… sasaran kita tetap masuk final,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Saingan Kumpulan A bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 yang dijadual bermula 29 April hingga 16 Mei ini menghimpunkan Indonesia, Myanmar, Kemboja, Filipina dan Timor Leste.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas ialah pada edisi 2011 apabila menundukkan pasukan tuan rumah namun gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final.- BERNAMA