PADANG BESAR – Kira-kira 200 keluarga asnaf sekitar kawasan ini menerima bakul makanan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang diadakan sempena Ramadan, seamalam.
Mereka antara senarai penerima bantuan dari pelbagai pihak termasuk YBR bagi meringankan beban dalam menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan sahur.
Menurut Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Padang Besar, Rizal Ismail, dalam program penyampaian pemberian bakul makanan itu, terjalin kemesraan yang mengeratkan lagi silaturahim antara pihaknya dengan YBR dan keluarga asnaf.
Katanya, pemberian bantuan itu yang disampaikan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dilakukan dari rumah ke rumah asnaf sekitar Padang Besar.
“Terima kasih kepada YBR kerana turun padang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik ini.
“Kita harap bantuan ini dapat memberi sinar keceriaan di bulan Ramadan serta sebagai persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kita juga berharap lebih banyak program seumpama ini dapat diadakan, sekali gus merapatkan lagi ukhuwah antara organisasi luar dengan masyarakat di Padang Besar ini,” katanya.
Turut hadir, Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Syaiful Rizal dalam kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa peka dengan nasib mereka yang memerlukan.
Kata beliau, bantuan itu diberikan kepada setiap keluarga asnaf serta anak yatim yang dikenalpasti melalui Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Padang Besar bagi memudahkan proses pengagihan.
Tambah beliau, bantuan melibatkan kira-kira 200 keluarga asnaf itu dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu mereka dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang Ramadan ini.
“YBR amat menitikberatkan golongan memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.
“Kita sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan lagi bantuan lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Katanya, usaha itu bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah diharapkan menjadi pemangkin kepada organisasi lain untuk sama menyantuni mereka yang tidak bernasib baik dalam mengharungi kehidupan dan ekonomi yang semakin mencabar ini.
Ujar beliau, program semalam melibatkan sumbangan kepada setiap keluarga sebanyak RM150 dan diharapkan sambutan Ramadan kali ini membawa keberkatan kepada mereka. – MalaysiaGazette