GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak perempuan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di kediamannya di Kampung Pisang, Air Itam di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, G. Sri Laavanya, 7, ditemui rentung sepenuhnya dalam keadaan mengiring di tepi katil dan dikeluarkan oleh pasukan bomba pada jam 1.12 pagi.
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang wanita berusia 50 tahun yang juga nenek mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, TS Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.19 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan Jalan Perak digerakkan ke lokasi.
Jelas beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati kebakaran membabitkan dua buah rumah dan api sedang marak susulan kediaman itu diperbuat daripada kayu serta zink.
Kata Zulfahmi, api berjaya dikawal pada jam 12.45 tengah malam dan mangsa ditemui kira-kira lapan meter daripada pintu masuk rumahnya.
“Keadaan rumah itu musnah sepenuhnya sehingga kita tidak dapat spesifikasikan keadaan ruang tamu dan bilik namun berdasarkan penemuan mayat mangsa kita percaya ia merupakan bilik tidur memandangkan dia ditemui di tepi katil.
“Pihak bomba juga tidak menolak kemungkinan mangsa panik dalam keadaan asap yang tebal dan cuba menyelamatkan diri dengan mencari jalan keluar namun terperangkap dalam bilik berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kes ini termasuk punca kejadian akan dilakukan oleh forensik bomba,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut Zulfahmi berkata, mangsa cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut manakala mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.23 pagi,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi dilihat meronta-ronta ketika pasukan penyelamat mengusung keluar mayat kanak-kanak tersebut. – MalaysiaGazette