Glasier Armancette . foto Twitter

PARIS – Sekurang-kurangnya empat orang maut dalam runtuhan salji di Pergunungan Alps Perancis.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin berkata, ia berlaku di glasier Armancette berhampiran Mont Blanc di tenggara Perancis pada hari Ahad.

Dua yang meninggal dunia adalah malim gunung.

Beberapa orang yang cedera telah dibawa ke hospital, dan dua orang masih hilang.

Timbalan Datuk Bandar Kampung Contamines-Montjoie, Jean-Luc Mattel berkata, anjing telah digunakan oleh pasukan mencari dan menyelamat untuk mengesan mangsa yang masih terperangkap.

Sebelum kejadian, pusat peranginan ski berdekatan, Les Contamines-Montjoie menyiarkan video di media sosial yang menunjukkan dinding salji di pergunungan itu bergerak turun dari Domes de Miage, yang merupakan sebahagian daripada glasier itu.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada video itu menunjukkan runtuhan salji yang menyebabkan kematian empat individu. – Agensi