PARIS – Lima orang cedera dan lapan tidak dapat dikesan selepas letupan meranapkan sebuah bangunan pangsapuri di bandar Marseille, dekat selatan Perancis.
Setakat ini punca letupan masih belum diketahui namun ada kemungkinan disebabkan kebocoran gas.
Letupan itu berlaku tengah malam, turut menyebabkan sebahagian blok rumah pangsa yang terletak bersebelahan runtuh beberapa jam kemudian.
Datuk Bandar, Benoit Payan tidak menolak kemungkinan ada mangsa yang maut.
Hampir 200 orang telah dipindahkan dari bangunan berhampiran.
Payan berkata, insiden hujung minggu ini bukan disebabkan oleh masalah struktur dalam bangunan dan oleh itu “tiada kaitan dengan rue d’Aubagne” – kes runtuhan di kawasan pelabuhan akibat masalah rumah lama pada tahun 2018 yang mengorbankan lapan nyawa.
Dalam pada itu, beberapa saksi mendakwa terdengar bunyi letupan yang kuat dan bau gas boleh dihidu di udara.
Payan menambah, fokus utama adalah mencari mangsa-mangsa yang terperangkap dan lebih 100 anggota bomba berada di lokasi untuk memadamkan kebakaran yang berlaku selepas letupan itu.
Bomba bagaimanapun memberi amaran bahawa kebakaran akan berterusan beberapa jam, sekali gus menghalang operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang kemungkinan masih terperangkap disebabkan haba panas dan asap.
Pendakwa raya tempatan, Dominique Laurens pula mengesahkan lapan individu yang tidak dapat dikesan “tidak menjawab panggilan telefon”.
Dalam pada itu, beberapa saksi mendakwa terdengar bunyi letupan yang kuat dan bau gas boleh dihidu di udara. – Agensi