Pegawai Maqis menunjukkan herba yang dirampas pihakny di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 50 kilogram dagangan keluaran pertanian tanpa permit pada Jumaat lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, hasil kerjasama dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia membawa kepada rampasan barang dagangan dari China dan Amerika Syarikat itu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.

Kesemua herba itu dibawa masuk dari pelbagai negara termasuk China dan Amerika Syarikat.

“Dagangan bernilai RM9,500 itu merupakan jenis tanaman herba seperti ginseng, akar kayu dan pelbagai daun kering.

“Barangan tersebut berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM di LTAPP dan siasatan mendapati, keluaran pertanian (raw herbs) tersebut tidak mempunyai permit import serta sijil fitosanitasi yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ginseng, akar kayu antara dirampas.

Tambah Muhammad Ikram, kesalahan mengimport keluaran pertanian tanpa permit boleh didakwa mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette